MasyaAllah!! Peristiwa isra’ mikraj di atas langit dunia bagaimana Rasulullah SAW mendapatkan perintah solat 5 waktu bagi umatnya

Acapkali terlihat di sekeliling kita ada sahaja manusia baik lelaki atau wanita yang hidupnya jenis tak mahu solat. Walhal perintah solat itu bukan seperti perintah yang lain, kerana ia didapatkan oleh Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam ketika peristiwa isra’ mikraj di atas langit ke tujuh.

Dan disebutkan dalam sebuah hadith bahawa solat adalah perkara pertama yang akan ditanya dan dihisab kelak di akhirat. Bagaimana jika sikap abaikan solat ni dapat menyelamatkan kita di akhirat kelak? Pakat muhasabah.

Dari Anas bin Malik berkata, Abu Dzar menceritakan bahawa Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Saat aku di Makkah atap rumahku terbuka, tiba-tiba datang Malaikat Jibril Alaihis Salam. Lalu dia membelah dadaku kemudian mencucinya dengan menggunakan air zamzam. Dibawanya pula bejana terbuat dari emas berisi hikmah dan iman, lalu dituangnya ke dalam dadaku dan menutupnya kembali. Lalu dia memegang tanganku dan membawaku menuju langit dunia.

Tatkala aku sudah sampai di langit dunia, Jibril Alaihis Salam berkata kepada Malaikat penjaga langit, ‘Bukalah’. Malaikat penjaga langit berkata, ‘Siapa Ini?’ Jibril menjawab, ‘Ini Jibril’. Malaikat penjaga langit bertanya lagi, ‘Apakah kamu bersama orang lain?’ Jibril menjawab, “Ya, bersamaku Muhammad shallallahu ‘alaihi wasallam.’ Penjaga itu bertanya lagi, ‘Apakah dia diutus sebagai Rasul?’ Jibril menjawab, ‘Benar.’

Ketika dibuka dan kami sampai di langit dunia, ketika itu ada seseorang yang sedang duduk, di sebelah kanan orang itu ada sekelompok manusia begitu juga di sebelah kirinya. Apabila dia melihat kepada sekelompok orang yang di sebelah kanannya dia tertawa, dan bila melihat ke kirinya dia menangis. Lalu orang itu berkata, ‘Selamat datang Nabi yang soleh dan anak yang soleh.’ Aku bertanya kepada Jibril, ‘Siapakah dia?’ Jibril menjawab, “Dialah Adam Alaihis Salam, dan orang-orang yang ada di sebelah kanan dan kirinya adalah roh-roh anak keturunannya. Mereka yang ada di sebelah kanannya adalah para ahli syurga sedangkan yang di sebelah kirinya adalah ahli neraka. Jika dia memandang ke sebelah kanannya dia tertawa dan bila memandang ke sebelah kirinya dia menangis.’

Kemudian aku dibawa menuju ke langit kedua, Jibril lalu berkata kepada penjaganya seperti terhadap penjaga langit pertama. Maka langit pun dibuka’.”

Anas berkata, “Kemudian Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam menyebutkan bahawa pada tingkatan langit-langit itu beliau bertemu dengan Adam, Idris, Musa, ‘Isa dan Ibrahim semoga Allah memberi selawat-Nya kepada mereka. Beliau tidak menceritakan kepadaku keberadaan mereka di langit tersebut, kecuali bahawa beliau bertemu Adam di langit dunia dan Ibrahim di langit keenam.”

Anas melanjutkan, “Ketika Jibril berjalan bersama Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam, dia melewati Idris. Maka Idris pun berkata, ‘Selamat datang Nabi yang soleh dan saudara yang soleh.’ Aku bertanya kepada Jibril, ‘Siapakah dia?’ Jibril menjawab, ‘Dialah Idris.’ Lalu aku berjalan melewati Musa, dia pun berkata, ‘Selamat datang Nabi yang soleh dan saudara yang soleh.’ Aku bertanya kepada Jibril, ‘Siapakah dia?’ Jibril menjawab, ‘Dialah Musa.’ Kemudian aku berjalan melewati Isa, dan dia pun berkata, ‘Selamat datang saudara yang soleh dan Nabi yang soleh.’ Aku bertanya kepada Jibril, ‘Siapakah dia?’ Jibril menjawab, ‘Dialah ‘Isa.’ Kemudian aku melewati Ibrahim dan ia pun berkata, ‘Selamat datang Nabi yang soleh dan anak yang soleh.’ Aku bertanya kepada Jibril, ‘Siapakah dia?’ Jibril menjawab, ‘Dialah Ibrahim ‘alaihi salam.’

Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Kemudian aku dimikrajkan hingga sampai ke suatu tempat yang aku dapat mendengar suara pena yang menulis.”

Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Kemudian Allah ‘azza wajalla mewajibkan kepada ummatku solat sebanyak lima puluh kali. Maka aku pergi membawa perintah itu hingga aku berjumpa dengan Musa, lalu dia bertanya, ‘Apa yang Allah perintahkan buat umatmu?’ Aku jawab: ‘Solat lima puluh kali.’ Lalu dia berkata, ‘Kembalilah kepada Rabbmu, kerana umatmu tidak akan sanggup!’

Maka aku kembali dan Allah mengurangi setengahnya. Aku kemudian kembali menemui Musa dan aku katakan bahwa Allah telah mengurangi setengahnya. Tapi dia berkata, ‘Kembalilah kepada Rabbmu kerana umatmu tidak akan sanggup.’ Aku lalu kembali menemui Allah dan Allah kemudian mengurangi setengahnya lagi.’ Kemudian aku kembali menemui Musa, ia lalu berkata, ‘Kembalilah kepada Rabbmu, kerana umatmu tetap tidak akan sanggup.’

Maka aku kembali menemui Allah Ta’ala, Allah lalu berfirman: ‘Lima ini adalah sebagai pengganti dari lima puluh. Tidak ada lagi perubahan keputusan di sisi-Ku!’ Maka aku kembali menemui Musa dan dia kembali berkata, ‘Kembailah kepada Rabb-Mu!’ Aku katakan, ‘Aku malu kepada Rabb-ku.’

Jibril lantas membawaku hingga sampai di Sidratul Muntaha yang diselimuti dengan warna-warni yang aku tidak tahu benda apakah itu. Kemudian aku dimasukkan ke dalam syurga, ternyata di dalamnya banyak kubah-kubah terbuat dari mutiara dan tanahnya dari minyak kasturi.” (Sahih Bukhari, no. 336)

Sumer: ohislam