Mahu Laung Azan Di Mekah, MasyaAllah Merdunya

Hanya bermula dengan mendengar laungan azan Mekah menerusi perbualan telefon daripada ayahnya, Muhammad Amnan Muhammad Sani kini mampu mengalunkan azan yang saling tidak tumpah seperti bilal di Masjidil Haram.

PADA September 2011, Muhammad Sani Bidin, 47, bersama isteri dan anak sulungnya telah pergi menunaikan ibadah umrah di Mekah, Arab Saudi.

Ketika berada di sana, dia sering membuat panggilan ke Malaysia iaitu sekurang-kurangnya sekali sehari bagi menanyakan khabar anak-anaknya.

Setiap hari, Muhammad Sani pasti akan berbual bersama ketiga-tiga anaknya yang tinggal bersama nenek mereka di Merlimau, Melaka.

Pada suatu hari, Muhammad Sani membuat panggilan seperti biasa, namun pada hari tersebut, ketika dia sedang berbual bersama anak keempatnya iaitu Muhammad Amnan, 11, isyarat azan di Masjidil Haram telah kedengaran.

Hal ini memaksa Muhammad Sani memberhentikan perbualan dan meminta Amnan yang ketika itu berusia lapan tahun supaya mendengar dengan baik laungan azan tersebut.

Selepas habis sahaja laungan azan itu, Muhammad Sani terus meletakkan telefon bagi membolehkannya menunaikan solat.

Situasi tersebut berlaku sekurang-kurangnya tiga kali sepanjang 44 hari dia berada di sana.

Selepas Muhammad Sani dan isteri serta anak sulungnya selamat mendarat di negara ini, Amnan bersama ahli keluarga yang lain telah pergi menjemput mereka di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.

Ketika dalam perjalanan pulang ke rumah dengan menaiki kereta, secara tiba-tiba Amnan melafazkan azan mengikut alunan yang sama seperti yang didengarinya ketika perbualan telefon dengan Muhammad Sani.

Ketika itu, terdetik perasaan sayu dan syukur dalam diri Muhammad Sani, selepas mendengar laungan azan dari anaknya itu saling tidak tumpah seperti azan di tanah suci itu.

Itulah sebahagian daripada kisah bagaimana bilal muda Amnan berjaya menguasai alunan azan yang popular di kota Mekah iaitu kiblat utama umat Islam seluruh dunia.

Sempurna


AMNAN (kiri) menunjukkan piala hasil kejayaannya dalam satu pertandingan tarannum kepada ahli keluarganya.

 

“Saya bersyukur dan terharu kerana anak saya Amnan mampu melafaz azan yang sama seperti yang didengari ketika berada di Mekah.

“Ini semua merupakan satu kurniaan Tuhan kepada saya kerana dalam usia semuda lapan tahun, Amnan telah berjaya melaungkan azan mengikut irama seperti di Mekah dengan baik,” katanya yang merupakan seorang kakitangan kerajaan.

Menurut Amnan, pada mulanya dia hanya mengajuk-ajuk sahaja azan Mekah yang didengarinya, namun tidak menyangka dapat menguasai dengan baik dan hampir sempurna.

Selepas berjaya melafaz azan Mekah dengan baik dan sempurna melalui latihan dan kunjungan ke beberapa masjid di sekitar Melaka, Muhammad Sani telah mengambil keputusan untuk memuat naik video azan anaknya ke dalam laman perkongsian YouTube.

Ternyata video yang dimuat naik pada Ogos 2012 itu berjaya menyentuh hati dan menimbulkan rasa kagum kepada sesiapa sahaja yang mendengarnya.

Tidak terkecuali melahirkan rasa kagum dengan kebolehan Amnan ialah Pegawai Syarak Masjid Sultan Salahhudin Abdul Aziz Shah, Shah Alam, Selangor, Syeikh Abdul Karim Omar al-Fatani al-Makki.

Bagi melahirkan penghargaannya kepada Amnan, beliau telah menjemput pelajar Sekolah Kebangsaan Pulai di Merlimau, Melaka itu untuk datang melaungkan azan solat Isyak di masjid tersebut pada Disember 2012.

Sebelum diberikan peluang melaungkan Azan di masjid yang berkapasiti 16,000 jemaah itu, Amnan terlebih dahulu melalui sesi talaqi dan musyafahah yang diberikan oleh Syeikh Abdul Karim Omar sendiri. Talaqi iaitu pelajar bersemuka atau berhadapan dengan guru, manakala musyafahah pula bermakna pelajar belajar al-Quran dengan memerhati gerak bibir guru untuk mendapatkan sebutan makhraj yang betul.

Selepas melalui proses tersebut, barulah dia diberi peluang untuk melaungkan azan di masjid tersebut sambil disaksikan oleh jemaah lain.

“Saya sangat teruja dan gembira kerana telah diberi kesempatan untuk melaungkan azan dan bertemu Syeikh Abdul Karim Omar di masjid yang besar ini.

“Ia satu pengalaman yang tidak akan saya lupakan sampai bila-bila,” ujar Amnan yang menjadikan bilal Masjidil Haram, Syeikh Ali Ahmad Molla sebagai idolanya.

Sambung pelajaran

Kini selepas dua tahun peristiwa tersebut berlalu, Amnan mula dikenali dan menerima pelbagai jemputan daripada masjid-masjid di seluruh negara untuk melaungkan azan.

Selain itu, dia juga menerima jemputan menjadi tetamu dalam beberapa program di stesen-stesen radio dan televisyen di seluruh negara.

Antara program yang disertai oleh Amnan termasuklah Qari Junior dua, Dunia pencetus ummah dan Muazzin jemputan untuk Astro Ceria serta Oasis.

Menurut anak keempat daripada lima beradik itu, kejayaan yang diperolehnya kini membuatkan dia bertambah semangat untuk mempelajari dengan lebih mendalam ilmu keagamaan sambil memasang angan-angan untuk menyambung pelajaran peringkat menengah di sekolah tahfiz.

Tambahnya, dia berharap usahanya itu dapat memberi contoh tauladan dan dorongan semangat kepada kanak-kanak yang lain dalam mempelajari ilmu keagamaan.


AMNAN bergambar kenangan bersama Syeikh Abdul Karim Omar (kiri) dan Syeikh Ali Ahmad Molla dalam satu majlis keagamaan.

 

“Saya keluar radio dan televisyen bukan sekadar untuk memenuhi jemputan, namun berharap penglibatan saya itu dapat memberi satu contoh dan tauladan kepada kanak-kanak lain,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai cita-cita dan azamnya, Amnan memberitahu bahawa dia memasang impian untuk menjadi seorang juruterbang pesawat komersial.

Katanya, dia memilih pekerjaan tersebut kerana ia bagi memudahkan perjalanan berulang alik ke Mekah untuk melaungkan azan di sana.

Ditanya mengenai sebab dia ingin melaungkan azan di Mekah, Amnan memaklumkan bahawa di sana merupakan tempat yang istimewa dan dihadiri oleh umat Islam dari seluruh dunia.

“Saya berazam untuk melaungkan azan di Masjidil Haram, Mekah dan Masjid Nabawi, Madinah.

“Di sana, kalau saya azan, jemaah seluruh dunia dapat mendengarnya manakala di sini hanya dapat didengari oleh ahli kariah sahaja,” katanya sambil memohon agar masyarakat di negara ini dapat mendoakan kejayaanya kelak.

Selain daripada berkebolehan melafazkan azan Mekah, Amnan juga berbakat dalam aktiviti bertarannum.

Buktinya, dia telah berjaya memperoleh johan dalam Majlis Tilawah al-Quran Sekolah-sekolah peringkat kebangsaan 2014 dengan mewakili negeri Melaka.

Selain itu, dia juga telah memperoleh johan dalam tilawah al-Quran Majlis Ihtifal Kokurikulum SRA Jabatan Agama Islam Melaka 2014.

Mengulas mengenai kunci kejayaannya itu, dia memaklumkan bahawa disiplin diri merupakan salah satu faktor yang sangat penting.

“Bukan mudah untuk berjaya, saya perlu mendisiplinkan diri.

“Selalunya sebelum menyertai pertandingan saya akan elakkan daripada makan makanan pedas dan kekacang, sebaliknya banyak minum air suam,” katanya yang menggemari juadah nasi ayam.

Hasil kejayaan yang diperolehnya itu melayakkan Amnan untuk dianugerahkan Tokoh Uwais al-Qarni (kanak-kanak) sempena sambutan Maal Hijrah 1435 peringkat negeri Melaka.

Menurutnya, anugerah tersebut merupakan satu pengiktirafan dan pembakar semangat kepadanya untuk menggapai kejayaan yang lebih besar pada masa akan datang.


Kelebihan Azan 
Kelebihan Azan Dan Orang Yang Melaungkan Azan(Muazzin) Menurut Hadis-Hadis Nabi S.a.w :

1. Jikalau manusia mengetahui akan kelebihan azan dan saf awal,dan mereka tidak akan mendapat keputusan siapakah yang layak melainkan dengan cara undi,maka mereka akan melakukannya. Dan seandainya mereka mengetahui akan kebaikan yang terdapat dalam bersegera solat nescaya mereka akan berlumba-lumba.

Dan seandainya mereka mengetahui akan kebaikan pada solat subuh dan isyak nescaya mereka akan mendatanginya walaupun perlu merangkak.

(Hadis Sahih Bukhari)

2. Hadis Abu Hurairah r.a: Nabi s.a.w bersabda: Apabila syaitan mendengar azan, dia akan lari bertempiaran sehingga tidak mendengarnya lagi.Setelah azan selesai,dia kembali lagi untuk menghasut.Begitu juga apabila mendengar iqamat. Dia akan lari sehingga tidak mendegarnya lagi dan sebaik sahaja iqamat selesai, dia kembali sekali lagi untuk menghasut.

(Hadis Sahih Muslim)

Hadis daripada Mu‘awiyah katanya: “Aku pernah mendengar Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Muazzin-muazzin itu ialah orang yang paling panjang lehernya di hari kiamat.”

(Hadis Sahih Muslim)

* Maksud orang yang paling panjang lehernya di hari kiamat itu ialah disebabkan dia melihat pahalanya yang banyak.

3. Nabi SAW bersabda:“Maka azanlah untuk kamu oleh salah seorang di kalangan kamu,kemudian hendaklah yang mengimamkan kamu itu orang yang akhbar (berilmu) di kalangan kamu.”

(Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

4. Tangan (keredhaan Allah) yang bersifat Rahman di atas kepala muazzin dan muazzin diberi keampunan sejauh mana suaranya sampai kepada sekelian alam.

(Hadis riwayat Thabarani)

5. Daripada Abdillah bin Abbas berkata ia bahawasanya nabi s.a.w. telah bersabda ia barang siapa melaungkan azan selama tujuh tahun dengan niat mengharapkan pahala daripada Allah,maka ditulis baginya pelepasan daripada api neraka .

(Hadis riwayat tarmizi)

6. Daripada Abu Hurairah r.a,Nabi SAW bersabda:”Seorang imam adalah penjamin dan muazzin adalah orang yang diamanahkan. Ya Allah,berilah petunjuk kepada para imam dan ampunilah orang yang melaungkan azan

( Hadis riwayat Abu Daud dan at-Tirmizi)

7. “Barangsiapa melaungkan azan selama dua belas tahun,maka wajiblah baginya syurga dan setiap hari ditulis enam puluh kebaikan kerana azannya dan tiga puluh kebaikan dari iqamatnya.”

(Riwayat ibnu majah)

MasyaAllah beruntungkan siapa yang menjadi Muazzin\bilal di masjid atau di surau.

Sumber: http://mindakini.com/kelebihan-azan/