KEANGKUHAN FIRAUN: BALA-BALA DAHSYAT YANG MENUNDUKKAN KESOMBONGAN FIRAUN

Terdapat sepuluh bala besar yang menggoncang bumi Mesir Purba semasa pemerintahan Firaun yang menzalimi Bani Israel. Keangkuhan Firaun yang tiada batas menunjukkan betapa gelap hatinya, dikeruhkan lagi dengan bisikan-bisikan pembesar-pembesarnya.

Dalam siri artikel yang lepas, teori Firuan manakah yang terlibat dalam persengketaan bersama Nabi Musa as dibincangkan, secara terperinci:

Artikel-artikel ini tidak menyentuh tentang bala-bala yang dimaksudkan secara menyeluruh.

Pertembungan Nabi Musa bersama Firaun benar-benar meletus selepas berlakunya pertunjukkan ala-ala silap mata, dimana tongkat Nabi Harun berubah menjadi ular dan memakan ular-ular milik ahli-ahli sihir Mesir.

Maka bermulalah kronologi bala-bala yang begitu dahsyat sekali, dimana setiapnya menandingi tahap yang sebelumnya dan selepas bala yang kesepuluh barulah terbukanya hati Firaun… itupun sebentar sahaja.

“Inilah Firmannya: kamu sudah tahu Akulah Tuhan. Melalui tongkat ditangan ini, Aku akan tukarkan air Sungai Nil menjadi darah. Ikan-ikan Sungai Nil akan mati, dan sungai ini akan membusuk sehingga rakyat Mesir tidak dapat minum daripadanya.” – Keluaran 7:18.

Sehebat-hebat negara Mesir pada ketika itu, ia tidak mampu mengelakkan bala ini daripada berlaku. Kata-kata Nabi Musa yang mengandungi janji Tuhan bukannya sekadar amaran lelaki yang merajuk. Bayangkan setiap titisan air di Mesir mengandungi darah; sumber yang lain pun berdarah.

Tetapi hati Firaun langsung tidak bergoyah selepas ahli-ahli sihirnya sendiri mampu tukar air menjadi darah. Firaun mengerahkan gandaan kepada kerja Bani Israel.

Seminggu selepas peristiwa darah itu, Tuhan menuntut lagi pengeluaran Bani Israel, dan kali ini, janji yang dibuat itu mengandungi amaran yang lebih dahsyat:
“Jika kamu enggan akan Aku hantar katak kepada seluruh negara kamu. Sungai Nil akan dipenuhi katak. Mereka akan memasuki istana-istanamu, kamar-kamar tidurmu, menaiki katil-katilmu, memasuki rumah-rumah menteri-menterimu dan juga rakyat-rakyatmu, sehingga kedalam ketuhar-ketuhar dan penguli-penguli tepungmu.” – Keluaran 8:2-3.

Katak mula membanjiri daratan Mesir daripada perairan-perairan seperti sungai, terusan dan tasik. Sekali lagi ahli-ahli sihir Firaun membisik di telinga pemerintah angkuh itu dengan membuktikan mereka pun boleh keluarkan katak.

Ibarat jatuh ditimpa tangga, jelas kelihatan keangkuhan ini telah memperbodohkan diri mereka sendiri dalam usaha menandingi kuasa Tuhan… kerana mereka tidak tahu cara untuk menghentikannya.

Maka Firaun berganjak.

Dia menyeru Nabi Musa hentikan bala ini, menjanjikan keluaran Bani Israel. Dan Nabi Musa bersabda katak ini sekadar bukti Tuhan yang lebih berkuasa – bahawa Firaun hanya perlu tetapkan tarikh sahaja agar ia dihentikan. Dan Firaun memilih esok; selepas bala ini dihentikan, Firaun tidak menepati janjinya, membuka tirai kepada bala ketiga yang jauh lebih teruk.

Kali ini, Nabi Musa tidak membuat desakan langsung.

“Tuhan berfirman kepada Musa, ‘Perintah Harun agar dia laraskan tongkatnya dan hentak ke bumi’ maka di sepanjang Tanah Mesir, setiap debu akan menjadi kutu.” – Keluaran 8:16.

Dan setiap debu berubah menjadi kutu yang menyerang rakyat dan haiwan Mesir. Kali ini, ahli sihir Mesir tidak dapat menandingi bala ini. Tetapi Firaun masih lagi tidak berganjak, dan wahyu seterusnya memerintah Nabi Musa bertemu lagi dengan Firaun untuk memberikan amaran:

“Jikalau kamu tidak keluarkan hamba-hambaKu, Aku akan utuskan kawanan-kawanan langau kepada kamu dan menteri-menteri kamu dan rakyat kamu. Mereka akan memasuki rumah-rumah kamu, sehingga tanah pun ditutupi mereka.” – Keluaran 8:21.

Cuma bala kali ini berbeza sedikit, kerana Tanah Goshen yang didiami Bani Israel tidak diapa-apakan. Kawanan langau menyerang rakyat Mesir sahaja. Dan sekali lagi Firaun menjanjikan pembebasan. Sekali lagi bala itu ditarikbalik. Sekali lagi Firaun tidak mengotakan janjinya, bersedia untuk berdepan dengan bala kelima yang bermula selepas satu lagi pertemuan bersama Nabi Musa.
Seperti biasa, bala yang berlaku semakin mengeruh.

“Jikalau kamu enggan dan masih lagi tidak mengotakan janjimu, kuasaKu akan menurunkan wabak yang teruk kepada haiwan-haiwan ternakanmu.” – Keluaran 9:2-3.

Dan sekali lagi, ternakan Bani Israel tidak diapa-apakan, manakala di sebelah Mesir pula, ternakan seperti kuda, keldai, unta, lembu dan kambing tersungkur menemui ajal. Walaupun Firaun mengetahui ternakan Bani Israel masih hidup, hatinya masih lagi keras.

“Kemudian Tuhan berfirman kepada Musa dan Harun, ‘ambil segenggam jelaga daripada sebuah relau dan balingkan ke udara di hadapan Firaun. Ia akan menjadi debu yang akan membarah nanah ke seluruh Mesir.” – Keluaran 9:8-9.
Ahli-ahli sihir Firaun sendiri tidak dapat tahan dengan ketumbuhan nanah yang teruk ini. Tetapi Firaun tidak berganjak juga, dan atas keangkuhannya, bala yang paling teruk (buat masa itu) pun menyusul dengan amaran yang begitu menggerunkan:

“Tuhan berfirman kepada Musa, ‘keluarlah di awal pagi, bertemulah dengan Firaun dan katakanlah, ‘Inilah Firman Tuhan: lepaskan hamba-hambaKu, agar mereka dapat menyembahKu, dan jikalau kamu tidak mengendahkan perintahKu, akanKu hantar balaKu berskala penuh kepadamu dan menteri-menteri mu dan rakyatmu, agar kamu akan sedar tiada siapa dapat menandingiKu di Bumi ini. Pada waktu ini, Aku boleh saja menamparmu sehingga kamu dan rakyat kamu lenyap dari Bumi ini. Tetapi Aku menaikkan darjatmu, dan tujuanKu untuk menunjukkan kekuasaanKu diatas namaKu. Kamu masih lagi tetap dengan pendirianmu dan tidak mahu bebaskan hamba-hambaKu. Maka pada hari esok, Aku akan utuskan ribut taufan yang paling dahsyat yang tidak pernah dialami Mesir sejak penubuhannya.” – Keluaran 9:13-18.

Ada dalam kalangan menteri-menteri Firaun sendiri yang begitu gerun akan amaran ini. Mereka bergegas untuk bawa masuk hamba-hamba dan ternakan mereka. Tetapi ada juga yang keras dan mengabaikan janji ini, walaupun mereka telah menyaksikan enam bala yang sungguh teruk sebelum ini.

Dan mereka benar-benar merasai kuasa Tuhan apabila awan mula menyelubungi langit Mesir, dengan izin-Nya untuk meletuskan bala ketujuh – guruh, petir dan hujan lebat mula mencetuskan ketakutan dalam hati rakyat Mesir – dan seperti yang dijanjikan, inilah ribut yang paling dahsyat dalam sejarah Mesir, meragut semuanya. Tetapi di Tanah Goshen, Bani Israel sekadar melihat sahaja.

Firaun akhirnya mengaku dosanya. Dia mengakui kehebatan Tuhan, dan kesalahannya dan rakyatnya. Firaun menyeru Nabi Musa berdoa kepada Tuhan agar bala besar ini dihentikan dan menjanjikan pembebasan Bani Israel, dan seperti biasa, tidak mengotakan janjinya.

Tetapi masih ada tiga bala lagi yang menanti Firaun. Dan jika bala ketujuh ini pun sudah cukup untuk menghancurkan ego Firaun buat seketika – bayangkan bala kelapan ini – “Jikalau kamu tidak lepaskan hamba-hambaKu, Aku akan utuskan kawanan belalang pula ke negaramu esok. Mereka akan melitupi setiap permukaan tanah sehingga tidak dapat dilihat. Mereka aken menjamah cebisan-cebisan makanan yang kamu ada selepas ribu, termasuk tanaman-tanamanmu yang sedang tumbuh.” – Keluaran 10:4-5.

Dan kawanan belalang ini mengunjungi Mesir dan menyerbu masuk ke rumah-rumah mereka, satu perkara seperti yang dikatakan Tuhan yang tidak pernah dilihat oleh leluhur Firuan sejak penubuhan Mesir Purba.

Dan menteri-menteri Firaun sudah naik muak. Mereka bersetuju penghijrahan Bani Israel, kerana, “tidakkan baginda sedar bahawa Mesir sudah hancur?” – Keluaran 10:7.

Dan Firaun memanggil semula Nabi Musa dan Nabi Harun untuk bertanya siapakah yang akan dikeluarkan. Nabi Musa menjawab setiap individu dalam kalangan Bani Israel, termasuk kumpulan kambing dan lembu. Tetapi Firaun hanya bersetuju jika lelaki sahaja yang dikeluarkan. Dan Nabi Musa dan Harun tidak berkompromi.

Kawanan belalang yang tidak pernah dilihat dan tidak akan dilihat lagi menyerang Mesir sehingga setiap inci darat menjadi hitam seperti kulit mereka, menjamah apa yang masih ada di Mesir selepas ribut itu termasuk tanaman-tanaman yang dicucuk. Tiada satu hijau pun tinggal, dan setelah diminta agar kawanan ini dikeluarkan, Firaun memungkiri janjinya seperti biasa.

Pengkhianatan ini telah menyusulkan bala kesembilan dimana Tuhan menggelapkan bumi Mesir selama tiga hari. Rakyat Mesir tidak dapat lihat apa-apa. Mereka tidak dapat menjalankan aktiviti harian seperti biasa, tetapi bumi Bani Israel terang sahaja.

“Firaun memanggil Musa dan menitah, ‘Pergi sembah Tuhanmu. Kamu boleh bawa kaum wanita dan kanak-kanak bersamamu, tetapi tinggalkan kambing dan lembu di sini.” – Keluaran 11:24.

Dan apabila Nabi Musa berunding agar kawanan ternakan mereka pun akan dibawa pergi juga demi korban, Firaun menghalaunya keluar dan mengugut bunuh jika baginda datang lagi.

Dengan sembilan bala besar, Firaun masih lagi tidak berganjak daripada keangkuhannya. Maka datangnya bala kesepuluh, dimana Tuhan menjanjikannya sebagai bala terakhir:

“Tuhan berfirman kepada Musa, ‘Aku akan membawa satu lagi bala keatas Firaun dan Mesir. Selepas itu, dia akan benarkan kamu keluar; dan apabila dia benarkan, dia akan menghalau kamu secara sepenuhnya.” – Keluaran 11:1-2.

Dan Nabi Musa menyampaikan wahyu itu, “Inilah titah Tuhan: ‘Pada tengah malam ini, Aku akan melalui Mesir. Setiap anak sulung Mesir akan mati, daripada anak sulung Firaun yang sedang menduduki takhta, kepada anak sulung hamba wanita yang sedang bekerja di pengisarnya, sehingga anak sulung lembu sekali. Akan ada raungan yang kuat di seluruh Mesir – terlalu teruk sehinggakan tidak pernah sekali pun Mesir diraung sedemikian rupa dan tidak lagi akan Mesir raung sebegitu.” – Keluaran 11:4-6.

Tetapi dalam kalangan Bani Israel, tiada seekor anjing pun akan menyalak. Dan Tuhan menasihati Nabi Musa agar setiap keluarga sembelih seekor kambing. Jika keluarga itu kecil, mereka wajib berkongsi sembelihan bersama jiran mereka.

Dan haiwan sembelihan pun ada syaratnya: umur setahun tanpa sebarang kecacatan. Dan pada senja hari ke-14, Bani Israel mesti menyembelih haiawan-haiwan ini, menyapu darah mereka di bingkai pintu rumah mereka. Pada malam itu, mereka wajib makan daging yang dipanggang atas api dengan herba-herba tertentu bersama roti yang dibuat tanpa ragi (yeast).

Tuhan juga mensyaratkan mereka tidak boleh memakannya mentah atau menjerangnya. Mereka wajib memanggangnya, termasuk kepala, kaki dan organ-organ. Jika ada sisa, mereka wajib membakarnya.

Dan mereka wajib memakannya dengan jubah diikat dalam tali pinggang, kasut kemas di kaki dan tongkat rapat ditangan. Bukan itu sahaja. Sesungguhnya bala yang sedang menanti ibaratkan mempunyai bencana yang begitu besar sehinggakan perlindungannya amat susah untuk dikecapi.

Bani Israel diwajibkan berpantang roti bersama ragi selama seminggu (selepas hari sembelihan (14 Hari Bulan)). Sesiapa yang memakan bersama ragi akan disingkirkan daripada Bani Israel. Mereka diwajibkan untuk tidak bekerja dalam minggu tersebut.

Dan apabila hari yang dijanjikan datang, Tuhan sendiri (ada juga yang mengatakan Malaikat Maut) melalui Mesir dan mengambil nyawa anak pertama setiap orang dan haiwan yang dijanjikan – tetapi bagi Bani Israel yang taat dengan perintah sembelihan, pemakanan bersyarat dan berpantang, mereka terkecuali.

Dan pada malam itu juga, Firaun, menteri-menterinya dan seluruh rakyat Mesir bangun dan raungan mereka menggegarkan bumi negara hebat itu.

Firaun yang angkuh itu akhirnya mengalah dan membenarkan keluaran Bani Israel – lelaki, wanita, kanak-kanak, kambing dan lembu. Dia juga meminta Nabi Musa berdoa agar dia dirahmati. Dan Bani Israel berhijrah ke Sukkoth – seramai 600,000 orang yang berjalan kaki. Tetapi mereka tidak melalui negara Filistina walaupun jalan itu lebih singkat. Kerana Tuhan berfirman, “Jika mereka menemui peperangan mereka akan kembali ke Mesir.” – Keluaran 13:17.

Akhirnya, Firaun menarikbalik kebenaran itu. Dan keputusannya membawanya ke nasibnya di Laut Merah. Dan menurut Kitab Zabur, Firaun mati bersama tentera-tenteranya di lautan tersebut.

— AFDS —

REPOST