Ibrah Kisah “Wanita Firaun” Yang Dijanji Syurga

Menyelak lembaran kisah-kisah wanita yang dijanjikan syurga, tidak terlepas kita meneliti tokoh seperti Saiditina Khadijah Khuwailid, isteri baginda Nabi Muhammad SAW. Tidak kurang itu juga, Maryam bintu Imran, ibu kepada Nabi Isa a.s. yang disebutkan di dalam al-Quran. Tetapi barangkali kita belum mendalami kisah seorang wanita yang mempertahankan jiwanya demi keimanan sebenar kepada Allah SWT. Wanita yang dimaksudkan ialah Asiah bintu Muzahim – isteri kepada Firaun.

Kisah Asiah bintu Muzahim dibincangkan dalam rancangan Ibrah pada minggu lalu bersama-sama Ustaz Muhamad Syaari Ab Rahman. Keimanan Asiah teruji sewaktu berhadapan dengan sang suami yang jauh mengingkari perintah dan arahan Allah SWT.

Dalam Surah Al-Qasas ayat 3, Allah SWT menjelaskan kisah Firaun dan Nabi Musa. Firman Allah, “Kami bacakan kepadamu (wahai Muhammad) sebahagian dari kisah Nabi Musa dan Firaun dengan keterangan yang benar bagi orang-orang yang beriman.”

Perhitungan kisah Firaun ini menjadi petanda utama agar manusia memahami bahawa kemewahan hidup yang tidak digunakan dengan sebaiknya akan mendatangkan mudarat kepada dirinya sendiri.

“Sesungguhnya Firaun telah berlaku zalim di bumi (Mesir) dengan melampaui batas, serta ia menjadikan penduduknya berpuak-puak. Ia menindas sepuak di antaranya dengan membunuh anak-anak lelaki mereka dan membiarkan hidup anak-anak perempuan mereka. Sesungguhnya adalah ia dari golongan yang membuat kerosakan.” (Surah Al-Qasas ayat 4)

Namun, daripada sisi yang berbeza Firaun berhadapan dengan seorang isteri yang tidak berpihak kepadanya. Di dalam al-Quran nama Asiah tidak disebutkan. Walau bagaimanapun, para ulama kebanyakkan mentafsirkan tentang ‘wanita Firaun’ yang dikisahkan itu adalah Asiah bintu Muzahim.

Asiah bintu Muzahim adalah wanita mulia yang disebutkan oleh Rasulullah SAW di dalam hadithnya. Biarpun perkahwinan ke atas Firaun atas dasar paksaan, tetapi demi membebaskan kedua orang tuanya itu, Asiah menerima beristerikan Firaun.

Sepanjang hidup bersama Firaun di dalam sebuah istana, pastinya kemewahan hidup di mahligai indah itu dirasai. Namun, biarpun kecintaan dan kepatuhan kepada suami itu penting, tetapi dihatinya jauh memandang tempat tingginya di sisi Allah Rabb Jalil yang lebih agung. Biarpun istana Firaun mahligai kehidupan di dunia, tetapi demi ketaatan dan keimanan yang mutlak itu Asiah merelakan dirinya diseksa oleh Firaun.

Kisah isteri Firaun ini dibicarakan Allah SWT di dalam al-Quran menerusi Surah At-Tahrim ayat 11. Allah berfirman yang bermaksud, “Dan Allah mengemukakan satu perbandingan (yang menyatakan tidak ada mudaratnya) kepada orang-orang mukmin (berhubung rapat dengan orang-orang kafir kalau tidak terjejas keadaan imannya), iaitu: perihal isteri Firaun, ketika ia berkata: “Wahai Tuhanku! Binalah untukku sebuah rumah di sisiMu dalam syurga, dan selamatkanlah daku dari Firaun dan perbuatannya (yang kufur dan buas), serta selamatkanlah daku dari kaum yang zalim”

Doa Asiah ini dirakamkan oleh Allah SWT bagi memberikan gambaran bahawa kesenangan hidup ini bukanlah di dunia semata-mata tetapi perjuangan di akhirat lebih utama. Selain itu, doa Asiah ini dibincangkan oleh para ulama dan ahli tafsir.

Para ulama berkata, Asiah memohon kepada Allah agar dibina sebuah rumah di dalam syurga. Mengapa Asiah memohon sebuah rumah; sedangkan syurga itu lebih indah daripada sebuah rumah sahaja?

Kehidupan yang bermewah-mewah di istana bersama-sama Firaun tidaklah mendatangkan kebahagiaan yang nyata malah Asiah terlalu lemas hidup di dalam kekufuran. Justeru, permintaan sebuah rumah sudah memberi persepsi kepada Asiah bahawa istana dan kemewahan itu tidaklah memberi makna dalam hidupnya.

Prof Hamka dalam Tafsir Azhar menyatakan bahawa, Asiah merasakan dirinya telah melewati waktunya (pada akhir hayatnya) untuk beriman kepada Nabi Musa a.s. Lalu, tidak diminta kepada Allah SWT agar diperkenankannya sebuah istana.

Kisah Asiah ini bukanlah hanya untuk wanita beriman, tetapi lebih mendasar daripada itu kita memahami tentang pentingnya hidup bertunjangkan ketakwaan dan keimanan.

Wanita seringkali diletakkan pada taraf paling bawah sejak zaman jahiliyah, namun kerana wanita itu juga kehidupan itu bermula. Oleh yang demikian, Asiah yang disebutkan oleh Rasulullah SAW adalah wanita yang dijanjikan syurga itu, bukan semata-mata seorang nama tokoh yang wajar diteladani, tetapi perlu difikirkan betapa beliau meletakkan kecintaan Allah SWT lebih utama daripada berkiblatkan sang suami yang durjana.

Mahkota seorang wanita itu letaknya pada jiwa dan hidupnya yang bertuhankan yang maha Esa semata-mata.

Sumber: sayashare