“Maaf Itu Aurat Saya, Dosa Saya” – Norkhiriah

PELAKON Norkhiriah berharap permintaan dia agar drama lakonannya sebelum menutup aurat tidak lagi diulang siar tidak disalahertikan.

Norkhiriah atau Norkhiriah Ahmad Shafie, 40, sebaliknya berkata, permintaan itu dibuat kerana dia berasa takut akan dosa yang perlu ditanggung apabila orang lain melihatnya dalam keadaan tidak menutup aurat.

“Maafkan saya andai kata permintaan itu di luar kemampuan yang tidak sepatutnya dan andai ada terasa hati.

“Itu aurat saya, dosa saya… Saya mungkin tiada hak untuk menyekat tetapi dengarlah suara hati saya.

“Saya belum sempurna namun saya takut akan murka Allah daripada murka manusia,” katanya ketika dihubungi mStar Online pada Khamis.

Terdahulu, Norkhiriah menerusi Instagram miliknya ada meninggalkan komen meminta stesen televisyen tidak lagi mengulang siar drama lakonannya selain perkara berkaitan ketika dia belum menutup aurat.

Norkhiriah bersama keluarga tersayang.

Bagaimanapun pelakon drama Bedah Tong Gas ini memadam komen kerana ingin mengelakkan salah faham dalam kalangan pengikutnya.

Dalam pada itu, Norkhiriah berkata, dia sendiri berasa malu melihat penampilannya sebelum ini namun sedar ia adalah satu proses pembelajaran.

“Saya sendiri tengok aurat saya, Masya-Allah kenapalah begitu rupanya tapi bila difikirkan tiada salah tak datang betulnya.

“Ketika rambut saya mengerbang, maafkan saya. Saya jahil lagi hina, saya pendosa yang ingin ke syurga.

“Kata orang yang lama jangan dikenang maka harap tiada lagi yang diulang tayang selepas ini,” ujarnya.

Sementara itu, Norkhiriah yang pernah mengeluarkan kenyataan ingin meninggalkan dunia seni memberitahu kenyataan dibuatnya itu satu kesilapan.

Ini kerana kata Norkhiriah, lakonan masih tersemat dalam jiwanya dan apa diluahkan sebelum ini adalah datang daripada perasaan kecewa.

Norkhiriah bakal muncul menerusi drama bersiri Sejadah Untuk Dia bermula 1 Januari ini.

“Saya belajar satu perkara jangan buat keputusan ketika dalam keadaan marah dan apabila saya cakap nak berhenti berlakon ia adalah satu kesilapan.

“Lakonan sudah sebati dalam diri saya selepas 20 tahun bergelar pelakon dan perasaan rindu hendak kembali ke set penggambaran itu sentiasa ada,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Norkhiriah berkata, dia baharu sahaja selesai menjalani penggambaran drama bersiri Sejadah Untuk Dia yang bakal bersiaran di Astro Oasis bermula 1 Januari ini.

“Alhamdulillah rezeki Allah itu masih ada buat saya dalam industri. Dapat saya melepaskan rindu hendak kembali berlakon.

Sejadah Untuk Dia hilangkan kerinduaan kepada sesiapa nak tengok saya dalam drama tu.

“Kita pandang ke depan sahaja selepas ini dan lupakan cerita-cerita lama saya sebelum menutup aurat. Anggap sahaja itu sebagai satu kenangan,” katanya.

kredit:- mstar

Sumber: ohayam