Kereta Anda Ditarik Bank ??? Sila Tahu Hak Anda Mengikut Undang-Undang…

PROSES MENARIKBALIK KENDERAAN DI BAWAH AKTA SEWA BELI 1967

Bila Bank Boleh Mulakan Proses Tarikbalik Kenderaan?

a) Apabila Penyewa mempunyai kemungkiran pembayaran ansuran 2 kali berturut-turut.

Bagaimana Proses Penarikanbalik Bermula?

a) Apabila Penyewa mempunyai kemungkiran bayaran ansuran 2 kali berturut-turut DAN jika bayaran harga tunai keseluruhan kenderaan tidak melebih 75%, Bank hendaklah mengeluarkan dan menyerahkan Notis Jadual Keempat.

b) Apabila Penyewa mempunyai kemungkiran ansuran 2 kali berturut-turut tetapi membayar harga tunai keseluruhan kenderaan melebih 75%, selain mengeluarkan Notis Jadual Keempat, Bank perlu mendapatkan Perintah dari Mahkamah.

**** Notis Jadual Keempat dan Perintah Mahkamah hendaklah diserahkan kepada penyewa di alamat terakhir yang diketahui. ****

Tempoh Notis Jadual Keempat.

Notis Jadual Keempat memberikan tempoh 21 hari kepada penyewa membuat penyelesaian.

Apa berlaku Selepas Tamat Tempoh 21 hari?

Selepas tamat tempoh 21 hari, penyewa masih tidak menyelesaikan tunggakan, Bank hendaklah mengeluarkan Notis Niat Menarikbalik Kenderaan di bawah Peraturan 15 Peraturan-Peraturan Sewa Beli (Permohonan Permit dan Tatacara Pemilikan Semula Barangan) 2011 yang memberikan masa selama 14 hari kepada penyewa membuat penyelesaian.

Apa berlaku Selepas Tamat Tempoh 14 hari Notis Peraturan 15?

Bank boleh mengeluarkan perintah penarikan balik kenderaan kepada Ejen Perolehan Semula (EPS).

Bagaimana EPS Menarikbalik Kenderaan?

a) EPS tertakluk kepada Peraturan-Peraturan Sewa Beli (Permohonan Permit dan Tatacara Pemilikan Semula Barangan) 2011.
b) Semua ejen EPS hendaklah mempunyai permit yang sah yang dikeluarkan oleh Kementerian.
c) Apabila hendak menarikbalik kenderaan, EPS hendaklah :
a. mengemukakan dan menunjukkan permit yang sah,
b. mengemukakan dan menunjukkan kad pengenalannya dan
c. mengemukakan perintah pemilikan semula daripada bank atau daripada Mahkamah.

Ini bermaksud EPS wajib berjumpa dengan penyewa, jika penyewa tiada, kenderaan tidak boleh ditarikbalik dan menjadi kesalahan jika ditarik. Kalau EPS tarik kenderaan tanpa kehadiran penyewa kemudian buat laporan polis ianya masih salah kerana laporan polis tidak diperlukan untuk menarik kenderaan.

Apa Yang Perlu Ada Di Dalam Perintah Penarikan Kenderaan?

Mesti ada :
a) nama ejen,
b) nombor permit,
c) nama dan alamat bank dan
d) tempat menyimpan kenderaan yang ditarik.

Bila Kenderaan Boleh Ditarik?

EPS hanya boleh menarik kenderaan dari jam 9 pagi hingga 9 malam.

Apa Berlaku Setelah Kenderaan Ditarik?

Bank hendaklah mengeluarkan Notis Jadual Kelima dengan memberikan tempoh 21 hari kepada penyewa menyelesaikan tunggakan dan/atau keseluruhan hutang. Notis Jadual Kelima juga akan disertakan suatu notis penerimaan kenderaan yang ditarik yang mesti menyatakan jenis kenderaan yang ditarik, bila ditarik dan tempat ditarik.

Apa Berlaku Setelah Tamat Tempoh 21 Hari?

Jika tamat tempoh 21 hari tersebut penyewa masih tidak menyelesaikan tunggakan dan tidak mengambil semula kenderaan, Bank boleh melelong kenderaan dengan mengeluarkan Notis Lelongan dengan menyatakan tarikh, masa dan tempat lelongan akan dijalankan.

***************************************
Perkara-perkara di atas adalah WAJIB dilakukan oleh Bank sebelum menarikbalik kenderaan dan menuntut jumlah hutang yang masih ada di bawah Perjanjian Sewa Beli. Jika mana-mana satu perkara tersebut tidak dilakukan, maka proses penarikan kenderaan menjadi tidak sah dan bersalahan dengan Akta 212. Sesiapa yang melakukan kesalahan di bawah Akta 212 boleh dihukum jika sabit kesalahan dengan denda tidak lebih RM100 ribu bagi kesalahan pertama dan tidak lebih RM250 ribu bagi kesalahan berikutnya bagi sesebuah pertubuhan perbadanan. Jika bukan pertubuhan maka denda tidak lebih RM25 ribu bagi kesalahan pertama atau penjara tidak lebih 3 tahun atau kedua-duanya dan denda tidak lebih RM50 ribu atau penjara tidak lebih 5 tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan kedua.

Jika perkara-perkara di atas tidak dilakukan oleh bank, penyewa berhak menuntut gantirugi kerana penarikan salah kenderaan dan membuat laporan kepada pihak berkuasa yang bertanggungjawab ke atas Akta Sewa Beli 1967.

BERANI BERUBAH
KETAHUI HAK ANDA.

ZULHAZMI SHARIFF.
14012016

*update; ada satu NGO yang dapat membantu anda menyelesaikan masalah hutang sewa beli kenderaan,kad kredit,rumah kena lelong,pinjaman berlesen,along dan lain lain lagi sila ke laman web ini untuk pertanyaan dan bantuan :

Sumber