‘Kau belanja ape je sampai banyak tu, bodoh!’ – Suami berang dan tengking isteri kerana dicaj RM275 untuk beli barang keperluan

Malang nasib seorang isteri apabila dia ditengking suaminya di hadapan orang ramai gara-gara barangan keperluan rumah yang diambil melebihi bajet si suami. Bukan saja diaibkan, malah ditinggalkan pula si isteri dan dua orang anak kecil di kaunter itu dengan duit RM150.Alangkah zalim dan dayusnya suami yang tidak guna seperti ini. Kasihan si isteri terpaksa menanggung malu. Semoga si suami sedar akan kesilapannya dan bertaubat sebelum terlambat.ASSALAMUALAIKUM admin. Saya tiada masalah rumah tangga. Cuma nak berkongsi satu kejadian di depan mata.

Begini, tengah hari tadi saya pergi belanja barang dapur di shopping mall The Mines, Serdang. Selepas saya memilih barangan dapur, saya pergi ke kaunter untuk membuat pembayaran. Ketika sedang menunggu giliran, di depan saya ada satu pasangan suami isteri bersama dengan dua orang anaknya. Seorang masih bayi dan yang seorang lagi anaknya lebih kurang sebaya dengan anak saya.

Saya terkejut apabila juruwang itu kata mereka kena bayar RM275. Saya dengar dengan jelas. Tahu apa jawapan si suami?

“Kau belanja ape je sampai banyak tu, bodoh!” si suami menengking isterinya di depan orang ramai.

Masa insiden itu berlaku, di belakang mereka ada dalam lima orang termasuk saya yang sedang menunggu giliran membuat pembayaran. Saya tengok wajah si isteri merah padam menahan rasa malu.

Selepas itu si suami terus menghulur duit RM150 dan terus pergi tanpa mempedulikan isteri dan dua orang anaknya. Si isteri terus memberitahu juruwang itu yang duitnya tidak cukup untuk membuat pembayaran. Dia letak barang-barang lain dan hanya mengambil beras, pampers, susu dan telur sahaja.

Saya kasihan melihat dia, lalu saya cakap pada dia, “Akak ambil saja, biar saya yang bayar bakinya.” Pada awalnya dia tidak mahu dan kata, “Takpe dik,”. Saya paksa juga dia menerima sebab di belakang ada ramai yang sedang menunggu giliran untuk membuat pembayaran. Dengan rasa berat hati, dia mengambil barang-barang itu semua.

Hati saya rasa sedih melihat insiden yang berlaku di depan mata. Saya tak sampai hati tengok anak-anak dia. Tanpa sedar air mata saya mengalir pada masa itu. Mungkin di dalam hati dia juga menahan kesakitan dan rasa malu dimaki dan ditengking oleh suaminya di depan orang ramai.

Saya nak sampaikan kepada lelaki di luar sana, jangan kau memalukan isteri di depan orang ramai. Jangan kau hina dia. Sebaliknya hargailah isteri kerana nafkah sesungguhnya adalah tanggungjawab suami.

Itu saja yang saya nak kongsikan. Sampai sekarang saya masih teringat akan insiden itu. Alhamdulillah, suami saya baik dan cukup dalam memberi nafkah kepada saya dan anak-anak. Terima kasih min.

Sumber: Kisah Rumah Tangga via buletinsemasa