Hina sangatkah kalau saya tidak mampu beri anak lelaki kepada suami sehingga ugut untuk dimadu

Setiap pasangan yang telah mendirikan rumah tangga pastinya mahukan cahayamata bagi menyerikan rumah tangga mereka. Lebih seronok sekiranya dikurniakan rezeki untuk memiliki sepasang anak-anak, lelaki dan perempuan.

Tetapi, bukanlah setiap orang diberikan peluang yang serupa, ada yang mahukan kehadiran anak perempuan tetapi gagal, ada pula yang mahukan anak lelaki tetapi tidak kesampaian dan ada pula yang mahukan zuriat, tetapi masih belum ada rezeki lagi.

Kalau anda pun sudah ada berderet anak perempuan tentu berharap sangat anak yang dikandung seterusnya adalah lelaki. Biasalah sebagai ibu yang normal kita memang akan berdoa supaya Tuhan kurniakan sekurang-kurangnya seorang anak lain jantina selepas sudah mempunyai ramai anak jantina yang sama.

Baca luahan ibu kepada tiga orang puteri di bawah yang mendambakan kehadiran anak lelaki bagi memenuhi kehendak suaminya yang sehingga kini masih kecewa kerana masih belum berpeluang untuk menimang putera pertamanya:

Saya merupakan ibu kepada tiga orang puteri. Hina sangatkah saya, teruk sangatkah saya kalau saya tidak mampu bagi anak lelaki kepada suami saya? Sampai tergamak suami saya kata yang dia tidak teragak-agak untuk berkahwin lain sekiranya saya tidak boleh memberikannya anak lelaki. Sedihnya saya Allah SWT sahaja yang tahu.

Sebenarnya, di dalam agama, Islam begitu mengambil berat dalam soal mendidik dan membesarkan anak perempuan dalam keluarga. Dr Abdul Basit Hj Abd Rahman dalam blognya abuanasmadani.blogspot.com turut memberitahu beberapa kelebihan memiliki dan menjaga anak perempuan mengikut Islam.

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:

“Sesiapa yang memiliki tiga anak perempuan, lalu dia bersabar dengan karenah, kesusahan dan kesenangan mereka, nescaya Allah s.w.t akan memasukkannya ke dalam syurga dengan kelebihan rahmat-NYA untuk mereka.”

Seorang lelaki bertanya, “Juga untuk dua anak perempuan wahai Rasulullah?”

Sabda Baginda, “Juga untuk dua anak perempuan.”

 

Seorang lelaki berkata, “Atau untuk seorang wahai Rasulullah?”

Rasulullah s.a.w menjawab, “Juga untuk seorang.” [HR Ahmad dan Al-Hakim].

Bahkan terdapat juga hadis yang menceritakan bersamanya tentang kelebihan memelihara saudara perempuan.

Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud:

“Tidak ada bagi sesiapa tiga orang anak perempuan ataupun tiga orang saudara perempuan, lalu dia berbuat baik kepada mereka,melainkan Allah Taala akan memasukkan mereka ke syurga.” [HR Al-Bukhari].

 

Daripada Aisyah r.a, Rasulullah s.a.w telah bersabda yang maksudnya:

“Sesiapa yang diberati menanggung sesuatu urusan menjaga dan memelihara anak-anak perempuan, lalu ia menjaga dan memeliharanya dengan baik, nescaya mereka menjadi pelindung baginya daripada api neraka.” [HR Bukhari, Muslim dan at-Tirmizi].

Sumber: selendangmaya